12 June 2011

~ Andainya Aku Di Situ ~

Oleh: Abdul Rahman Raji, Tahun 1, Syariah Islamiyah, Universiti Al-Azhar (Kaherah)
Suasana sunyi menyelubungi malam yang pekat gelita itu. Keheningan suara alam seolah-olah turut bersama menangisi peristiwa pahit tersebut. Angin bertiup perlahan, seakan-akan menyesali terhadap apa yang bakal berlaku. Bahkan,bakal disesali dan ditangisi seluruh alam.
Kedengaran derapan tapak kaki beberapa orang, melangkah masuk ke pekarangan Istana Yildiz. Masing-masing serba lengkap berpakaian kemas berwarna hitam. Kedatangan mereka bakal membawa suatu titik berdarah bagi sejarah umat Islam. Mereka ingin segera menemui Sultan Abd Hamid II, Khalifah umat Islam terakhir, di ruang kediamannya. Kedatangan mereka telah dijangka sendiri oleh Sultan Abd Hamid.
Andainya Aku Di Situ
Lalu, Sultan Abd Hamid melangkah keluar tenang, mendapatkan mereka. Baginda sudah memahami sendiri tujuan kedatangan mereka. Lalu,baginda berbicara,
Bukankah pada waktu seperti ini adalah masa di mana aku harus menunaikan kewajibanku  terhadap keluargaku. Tidak bolehkah kalian bicarakan masalah ini esok pagi?”, luah Sultan memohon timbang tara dari mereka.
Namun,menghampakan,nilai simpati dan belas kasihan telah lama jauh hilang dari hati mereka.
“Tidak, negara telah memecat anda!” tegas Esha Pasha, salah seorang wakil delegasi tersebut, yang juga seorang wakil rakyat daerah Daraj di Meclis-i Mebusan. Kedatangan mereka dijelaskannya kepada Sultan Abd Hamid dengan angkuh dan biadap.
Kehadiran mereka sebenarnya telah dirancang sekian lama oleh musuh-musuh kerajaan Bani Uthmaniah sedunia. Mereka telah  disokong 240 perwakilan Parlimen Uthmaniah, dibawah tekanan puak Turki Muda, yang bersetuju dengan penggulingan Sultan Abd Hamid II. Bahkan, seorang senator berpengaruh, Sheikh Hamdi Afandi Mali, telah mengeluarkan fatwa tentang penggulingan Sultan, dan dipersetujui oleh para senator yang lain, walaupun sangat jelas kebatilan dalam fatwanya. Namun, hakikat fakta dan realiti sejarah takkan sekali-kali mampu diubah kebenarannya. Kemudian, satu-persatu wajah ahli delegasi diperhatikan dengan baik oleh baginda.
“Negara telah memecatku, itu tiada masalah, tetapi kenapa kalian membawa serta Yahudi ini masuk ke tempatku?” kata Sultan dengan nada yang cukup marah, sambil menunding jari tehadap salah seorang wakil delegasi Yahudi berbangsa Itali, Emmanuel Carasso.
Baginda cukup mengenali Emmanuel Carasso, seorang wakil yang turut bersama-sama Theodor Herzl ketika cuba membuat tawaran keizinan penempatan Yahudi di Palestin.
“Walaupun anda dipecat, kelangsungan hidup anda berada dalam jaminan kami”, balas Esha Pasha, cuba mengalih bicara.
Sultan Abd Hamid sedar kedudukannya di saat-saat yang genting itu. Baginda yakin dengan ketentuan Allah SWT telah tetapkan untuknya. Sunnah Allah yang pasti bagi hari-hari yang digilirkan kemenangan dan kekalahan sepertimana kisah Uhud, suatu ketika dahulu.
Malam 27 April 1909 itu menjadi saksi pengusiran Khalifah terakhir umat dari pemerintahan dunia. Malam itu juga baginda beserta ahli keluarganya yang ramai diangkut menuju ke  stesen kereta api Sirkeci. Mereka diusir dari bumi yang menjadi simbol kekuatan dan kesatuan umat, dan dibuang ke istana milik Yahudi di Salonika.
Bumi seakan-akan bergegar akan tragedi yang memilukan itu. Tanah keemasan yang  pernah dijejak oleh sebaik-baik raja dan sebaik-baik tentera itu suatu ketika dahulu, kini berubah wajahnya menjadi debu-debu yang berterbangan.
“Sabarlah anakku, negara tidak tahu apa yang telah mereka lakukan pada umat Muhammad ini” Sultan cuba menenangkan anaknya, Fatimah sambil mengusap air matanya yang mengalir sedih.
Kereta api pun meluncur laju, meninggalkan bumi khilafah di belakang. Maka, tamatlah salasilah pemerintahan Khilafah umat Islam sejak dari zaman Abu Bakar r.a, selepas pembubaran khilafah secara rasmi di Istanbul pada 3 Mac 1924 Masihi bersamaan 28 Rejab 1342 Hijrah.
Saudara,
Andainya saudara telah hidup disaat-saat kejatuhan itu,
Apakah yang akan saudara lakukan?
Marah?
Menangis?
Membuat demonstrasi?
Berceramah dan menghebahkan ke pelusuk dunia?
Mengadakan muktamar-muktamar?
Atau, tenang dan sekadar duduk menerima ketentuan?
Saudara, apa yang akan saudara lakukan?
Jawablah, kerana saat itu saudara telah dihinakan.


Syakib Arsalan Menggaris Langkah
Lalu, di celah-celah kegawatan umat itu, muncul seorang Ulama Agung, Syakib Arsalan menggaris langkah;
“Kita wajib memulakan usaha Islam dari bawah; iaitu melalui tarbiyah individu. Apalah gunanya mengadakan muktamar yang menghimpunkan orang-orang yang lemah, tidak mempunyai keinginan sendiri, dan tidak mampu melaksanakan satu keputusan atau resolusi. Apakah faedah berbuat demikian? Adakah kamu mahu mengumpulkan angka-angka kosong?”
Ungkapannya muncul setelah beberapa kali diutus surat kepadanya, menanyakan pendapat tentang muktamar dan perhimpuanan yang diadakan untuk memilih Khalifah Umat yang baru. Namun, beliau tegas dalam memahami teori kebangkitan bagi umat ini. Kekalahan umat baginya bukanlah sekadar kejatuhan kekuasaan dan pemerintahan khilafah, tetapi ia adalah lebih menjunam hingga ke pokok akar-akarnya, iaitu akidah dan iman setiap muslim di seluruh dunia.
Sejarah membuktikan bahawa kelemahan identiti dan jiwa seorang muslim ketika itu, cukup membimbangkan, sehingga membawa kepada pepecahan dan penentangan sesama muslim.
Di awal ambang kemorosotan kerajaan Uthmaniah, telah muncul satu gerakan Revolusi Arab yang berpusat di Mekah. Mereka menentang pemerintahan kerajaan Turki Uthmaniah atas dasar nasionalisme dan perkauman. Bahkan, gerakan ini ditaja sendiri oleh pihak British dan Perancis. Di Turki pula muncul gerakan Young Turksatau Turki Muda dan Parti Al-Ittihad wal Taraqqi, yang juga menentang dasar pemerintahan khilafah Uthmaniah. Perkembangan ini turut dirasai oleh umat Islam di negara-negara lain, sehingga kebanyakannya menuntut permisahan secara total dari pemerintahan kerajaan Uthmaniah, dan membina negara-negara masing-masing.
Seorang penulis berpengaruh di Mesir, Abdul Rahman Al-Kawakibi telah menulis dalam bukunya, Ummul Qura, menghasut orang-orang Arab supaya menetang kerajaan Uthmaniah, dan menuduh Sultan Abdul Hamid seorang yang mengutamakan politik lebih dari agama.
Kemorosatan moral dan akhlak juga menjadi lumrah dan kebiasaan. Penyelewengan akidah dan bidaah telah merebak ke seluruh jiwa umat. Golongan istana para pemimpin juga terlibat dalam krisis moral dengan adanya pesta tari-menari dan hidangan minuman keras. Gejala rasuah dan pecah amanah menjadi adat dalam sistem pentadbiran sehingga ke tahap yang kritikal.
Maka, Syakib Arsalan melahirkan kerisauannya pada aspek pembinaan semula jati diri, akidah dan iman dalam diri umat. Beliau memandang hakikat kerosakan tersebut, seiring dengan teori Al-Faruq Umar Al-Khattab, ketika ditanya,
“Adakah sesebuah negeri itu boleh musnah padahal ia makmur maju?”
Lalu, beliau menjawab:
“Apabila orang-orang jahat menguasai orang-orang baik”
Juga, seiring dengan firman Allah SWT ketika mengajar para sahabat erti sebenar kejatuhan pada perang Uhud:
“Dan mengapa ketika kamu ditimpa musibah (dalam peperangan Uhud), padahal kamu telah pun memenangi seperti itu sebanyak dua kali ganda (dengan menimpakan musibah kepada musuh dalam peperangan Badar), kamu berkata: Dari mana datangnya (musibah) ini? Katakanlah (wahai Muhammad) (Musibah) itu dari diri kamu sendiri (kerana ingkar perintah Rasulullah)…”
(Aali Imran: 165)
Ya, Allah SWT telah menegaskan pada umat ini :
“(Musibah) itu dari diri kamu sendiri (kerana ingkar perintah Rasulullah)…”


Hasan Al Banna Mengorak Langkah
Walaupun begitu, teori Syakib Arsalan tersebut seolah-olah tidak diendahkan para pemimpin dan umat. Hal ini diakui sendiri oleh seorang tokoh Islam bernama Abdul Wahab Azzam,
“Namun,sampai kini kita masih mendengar laungan-laungan di dalam perhimpunan-perhimpunan serta resolusi-resolusi di muktamar –muktamar sejak puluhan tahun dahulu.Semuanya itu hanya merupakan himpunan angka kosong."
Usaha dakwah ini mesti dimula dari bawah sepertimana kata Syakib.
Maka umat terus dilanda kebingungan sejak jatuhnya Khilafah Uthmaniah di Turki, berbagai pihak cuba membuat serangan-serangan terhadap keteguhan dan keaslian Islam dan umatnya. Kekacauan dan huru-hara yang berlaku kesan dari kejatuhan khilafah Uthmaniah amat dirasai oleh mereka yang masih ikhlas dan dan beriman dengan risalah Nabi SAW. Namun,mereka seolah-olah hanya mampu menunggu kemunculan mana-mana peribadi yang bangkit dan berdiri memimpin mereka ke arah kebangkitan.
Maka, Allah Maha Adil telah menyiapkan sebuah peribadi unggul yang  bangkit dan kembali mentajdid ruh Islam dan jihad ke dalam jiwa umat. Pada tahun 1928, Imam Hasan Al-Banna bangkit dan mengasaskan sebuah gerakan Islam yang melakukan usaha-usaha untuk membawa kembali khilafah kepada tempatnya. Beliau telah melakukan beberapa kajian-kajian terhadap permasalahan umat dan ubatnya, dan akhirnya mendapati:
“Ceramah, ucapan, buku, pengajian, mengenal pasti penyakit dan ubat sahaja tidak akan membawa apa-apa kesan dan tidak akan dapat membawa pendakwah kepada matlamat. Sebaliknya dakwah perlu menggunakan segala wahana. Wahana yang perlu digunakan oleh semua gerakan ini tidak lain dan tidak bukan adalah tiga perkara berikut :
  1. Iman yang mantap
  2. Pembentukan yang kemas
  3. Usaha yang berterusan”
Usaha beliau dalam mentarbiyah dan membina umat berterusan dan disambung oleh para generasi selepasnya, dan mula membuahkan hasil demi hasil dengan izin-Nya.
Sirah Rasulullah SAW dalam menumpukan aspek-aspek pembinaan generasi sahabat sehingga membawa kepada penegakan negara Islam Madinah dan menjadi titik bermula kegemilangan empayar Ummayah, Abbasiyah, dan Uthmaniah menjadi dalil jelas kepada usaha Imam Hasan Al Banna dalam menjadikan tarbiyah sebagai kekuatan umat.
Akhirnya, menjadi kewajipan bagi setiap mereka yang mengakui Allah sebagai tuhannya untuk menggabungkan diri dalam usaha-usaha pembinaan diri dan pentarbiyahan, agar suatu hari nanti, pembukaan Kota Konstantinople kembali bergegar dan kegemilangan Kota Baghdad kembali menyinar.
Jika tidak, maka setiap dari kita akan dipertanggungjawabkan dosa akibat tidak meletakkan Islam ke tempat yang sepatutnya.
“Sesungguhnya aku tahu, bahawa nasibku semakin terancam. Boleh saja aku berhijrah ke Eropah untuk menyelamatkan diri. Tetapi untuk apa? Aku adalah khalifah yang bertanggungjawab ke atas umat ini. Tempatku adalah di sini. Di Istanbul!”

Sumber:
Harb, Muhammad (1998). Catatan Harian Sultan Abdul Hamid II. Darul Qalam, ; Asy-Syalabi, Ali Muhammad (2003).Bangkit dan Runtuhnya Khilafah ‘Utsmaniyah. Pustaka Al-Kautsar, 403-425.Muzakarrat Daie wa Daieah; Hasan Al Banna.

0 comments:

  © Blogger templates The Professional Template by Ourblogtemplates.com 2008

Back to TOP