22 June 2011

~Dakwah Satu Perjuangan Sepanjang Zaman~

Hasil Nukilan oleh Hj Nik Mohd Yusoff Nik Ismail,
Yang Di Pertua Wadah Pencerdasan Ummah, (Wadah) Selangor


Dakwah satu perjuangan sepanjang zaman
Memenuhi tuntutan-tuntutan tuhan
Sebagai 'abdillah yang beriman
Sebagai khalifah yang berkebajikan..

Dakwah itu bermakna pengorbanan
Melalui harta takhta serta pengalaman
Melalui masa dan daya pemikiran
Kebijaksanaan dan garis pedoman..

Dakwah itu bererti qudwah hasanah
Membangun diri jangan punah
Memurnikan rohani secara istiqamah
Daya fikir penggerak wadah..

Dakwah itu tarbiyyah
Mendidik dan melatih
Sehingga menjadi insan terpilih
Dipuji malaikat doa terpilih..

Dakwah itu ibadah
Meliputi segala liku dan wilayah
Dari peribadi hingga ke pemerintah
Melalui uslubul-hasanah..

Dakwah itu istiqamah
Istiqamah atas jalan yang diamanah
Menepis segala hasutan iblis pemusnah
Agar perjuangan tidak punah-ranah..

Dakwah itu kesabaran
Sabar itu separuh daripada iman
Mencari ilham dalam ancaman
Begitulah pendakwah budiman..

Dakwah itu jihad
Menegak kebenaran penuh tekad
Aufu bil 'uqud!
Aufu bil 'uqud!

Dakwah itu 'amal-jamaii
Bermuafakat sesama sendiri
Bersyura menepati peraturan Ilahi
Agar segala diberkati..

Dakwah itu kepimpinan
Kepimpinan itu satu penderitaan
Bukan anugerah kenalan
Atau hadiah buat si polan..

Dakwah itu kaya akhlak
Jiwa diasuh diri tak rosak
Dipegang teguh sampai layak
Menjadi insan bukan perosak..

Dakwah itu penyebaran
Walaupun cuma satu ungkapan
Bermula dengan diri hingga ke teman
Tanpa mengenal benua dan sempadan..


Dakwah itu amar makruf nahi mungkar
Yang Makruf jangan diengkar
Yang mungkar jangan dibiar
Agar umat menjadi segar..

Dakwah itu keadilan-kebenaran
Apa erti perjuangan tanpa kebenaran
Apa erti perjuangan tanpa ke'adilan
Keadilan teras keamanan..

Dakwah itu nasihat
Membimbing umat dengan susah payah
Bersaksikan qudwah hasanah
Dilaksanakan dengan penuh hikmah..

Dakwah itu amanah
Dipegang teguh dengan sungguh-sungguh
Agar terlaksana tanpa tangguh
Segala harapan membawa berkah..

Dakwah itu ujian
Hadapi rintangan dan halangan
Dari lawan dan juga rakan
Itulah fitrah mencari kebenaran..

Dakwah itu tak kenal penat-lelah
Bersedia atau dalam susah
Pantang undur seorang pendakwah
Bak panglima yang perkasa gagah..

Dakwah itu hijrah-perubahan
Bermula dengan niat yang diabadikan
Dengan tingkatkan rohani berteraskan iman
Menghadap wajah dengan Yaa Rahman..

Dakwah itu mulai dari diri
Membangun diri dengan pekerti
Memperbaiki sampai mati
Itulah pejuang sejati..

Dakwah itu muhasabah
Muhasabah diri dengan tabah
Mencari kelemahan elak fitnah
Agar perjuangan menjadi mudah..

Dakwah itu ikhtiar-tawakkal
Ikhtiar sepenuh akal
Mengolah kaedah, uslub yang afdhal
Lalu tawakkal kepada yang kekal...

Read more...

16 June 2011

~ Seorang DA'IE Apatah Lagi Orang Awam ~

Oleh: Muhamad Zulhakimi Samsudin, Tahun 4, Perubatan, Universiti Mansoura



Sekiranya daie tidak berbuat, apatah lagi orang awam, masyarakat umum pasti meninggalkan perkara yang lebih besar dari itu.
Sekiranya daie tidak menunaikan solat sunat rawatib, maka orang awam atau masyarakat umum pasti akan ada yang meninggalkan solat wajib.
Ketika mana seorang daie tidak berpuasa sunat, maka orang awam pasti akan ada yang meninggalkan puasa wajib pada bulan Ramadan.
Ketika mana daie itu jauh daripada Tuhannya, apatah lagi masyarakat umum, mereka pasti lebih jauh lagi.
Sekiranya daie itu berselawat kepada nabi SAW pun jarang, jangan harap masyarakat akan selalu berselawat atau ingat pada nabi SAW.
Seorang daie yang mula luntur kasih sayangnya pada nabi, apatah lagi orang awam pasti lebih lagi.
Sekiranya solat seorang daie itu tidak khusyuk bagaimana pula dengan orang awam yang lain?
Memetik kata Imam As-Syahid Hassan Al-Banna dalam salah satu ceramahnya  hari Selasa.
Allah berfirman dalam sebuah hadis Qudsi :
“Tidaklah seseorang mendekatkan diri kepada-Ku dengan suatu amalan yang lebih utama daripada apa yang Aku wajibkan baginya “.
Telah berkata Ibn Hajj dalam salah satu bukunya: “Saya berpendapat bahawa amalan-amalan sunat dan rawatib bagi para ulama dan daie menjadi suatu kewajipan, kerana jika mereka mengabaikan rawatib, maka masyarakat awam menjadikannya alasan untuk meninggalkan kewajipan.


Sebuah daulah tidak akan  wujud sebelum kita berani membina daulah dalam diri sendiri, memimpin daulah dalam diri sendiri, kita menjadi khalifah pada diri sendiri, mengawal hawa nafsu yang meliar pada diri, mengekang kehendak nafsu yang berbagai-bagai, membawa diri mengenal Tuhan dan berjalan seiring dengan perintah-Nya.
Ulama dan daie itu fungsinya hampir sama. Kalau seorang ulama yang sesat, akan ramai daripada masyarakat ini yang akan sesat. Begitu jugalah para daie. Takkan mungkin daie itu terpisah daripada diri mereka sendiri, mereka umpama sekeping syiling kepala dan ekornya, muka depan dan muka belakangnya menggambarkan diri duit syiling tersebut, begitulah daie. Dakwah daie itu terpalit pada diri daie, tidak dapat dipisahkan umpama syiling itu. Masyarakat akan memandang apa-apa yang dibuat oleh seorang daie, itulah islam.
“Kullu harakah medan wakullu harakah jihad”Itulah akh yang diingini yang disebut-sebut oleh Imam As-Syahid Hassan Al-Banna, setiap pergerakannya adalah medan dan setiap pergerakan itu adalah jihad.
Sama-sama kita bermuhasabah saling membuat retrospeksi pada diri… Perkara yang kecil dipandang oleh seorang daie adalah besar dipandang oleh orang awam kerana daie adalah contoh untuk mereka mengenal islam yang sebenar. Lagi-lagi mereka yang sudah mengikuti gerakan islam. Bahkan mereka adalah seorang Daie!

Read more...

14 June 2011

~ Himpunan Relawan Daie Muda ~




Himpunan Relawan Daie Muda diadakan bagi mengumpulkan semua sukarelawan yang terlibat di samping membuka peluang penyertaan baru kepada belia negeri Terengganu.

Himpunan ini dijangkakan dapat memberi pendedahan baru kepada belia untuk mengenali gerakan dakwah dengan lebih dekat lagi khususnya melalui pertubuhan-pertubuhan Islam seluruh dunia. Kami percaya pendekatan baru melalui jemaah dapat membangkitkan semangat membina modal insan  selain rasa bertanggungjawab untuk prihatin terhadap nasib orang lain khususnya masyarakat Muslim tempatan dan antarabangsa.



TARIKH:

25 Jun 2011 bersamaan 23 Rejab 1432 Hijrah Hari Sabtu

MASA:

8.00 Pagi – 5.00 Petang

TEMPAT:

Dewan Jubli Emas  Sekolah Menengah Kebangsaan Tengku Mahmud, Alor Lintang, Besut, Terengganu

JEMPUTAN KHAS:


Imam Muda Taufek


Semua Belia Islam Daerah Besut Berumur 15-25 Tahun Dijemput Hadir...

Tempat Adalah Terhad!!!


Himpunan Relawan Daie Muda dianjurkan oleh :

Skuad Elit ABIM Besut
( Ikatan Remaja Islam Besut )
ABIM Daerah Besut



Ayuh Beramai-Ramai Kita Berhimpun Untuk Mengeratkan Ukhuwah...



Anda berminat? Hubungi:

Ustaz Zaiman : 0199151677 
Ustaz Shakir : 0199348006 
Sdr Adham : 0139427006




Sebarkan Maklumat Ini Demi Kepentingan Ummah...

Read more...

12 June 2011

~ Andainya Aku Di Situ ~

Oleh: Abdul Rahman Raji, Tahun 1, Syariah Islamiyah, Universiti Al-Azhar (Kaherah)
Suasana sunyi menyelubungi malam yang pekat gelita itu. Keheningan suara alam seolah-olah turut bersama menangisi peristiwa pahit tersebut. Angin bertiup perlahan, seakan-akan menyesali terhadap apa yang bakal berlaku. Bahkan,bakal disesali dan ditangisi seluruh alam.
Kedengaran derapan tapak kaki beberapa orang, melangkah masuk ke pekarangan Istana Yildiz. Masing-masing serba lengkap berpakaian kemas berwarna hitam. Kedatangan mereka bakal membawa suatu titik berdarah bagi sejarah umat Islam. Mereka ingin segera menemui Sultan Abd Hamid II, Khalifah umat Islam terakhir, di ruang kediamannya. Kedatangan mereka telah dijangka sendiri oleh Sultan Abd Hamid.
Andainya Aku Di Situ
Lalu, Sultan Abd Hamid melangkah keluar tenang, mendapatkan mereka. Baginda sudah memahami sendiri tujuan kedatangan mereka. Lalu,baginda berbicara,
Bukankah pada waktu seperti ini adalah masa di mana aku harus menunaikan kewajibanku  terhadap keluargaku. Tidak bolehkah kalian bicarakan masalah ini esok pagi?”, luah Sultan memohon timbang tara dari mereka.
Namun,menghampakan,nilai simpati dan belas kasihan telah lama jauh hilang dari hati mereka.
“Tidak, negara telah memecat anda!” tegas Esha Pasha, salah seorang wakil delegasi tersebut, yang juga seorang wakil rakyat daerah Daraj di Meclis-i Mebusan. Kedatangan mereka dijelaskannya kepada Sultan Abd Hamid dengan angkuh dan biadap.
Kehadiran mereka sebenarnya telah dirancang sekian lama oleh musuh-musuh kerajaan Bani Uthmaniah sedunia. Mereka telah  disokong 240 perwakilan Parlimen Uthmaniah, dibawah tekanan puak Turki Muda, yang bersetuju dengan penggulingan Sultan Abd Hamid II. Bahkan, seorang senator berpengaruh, Sheikh Hamdi Afandi Mali, telah mengeluarkan fatwa tentang penggulingan Sultan, dan dipersetujui oleh para senator yang lain, walaupun sangat jelas kebatilan dalam fatwanya. Namun, hakikat fakta dan realiti sejarah takkan sekali-kali mampu diubah kebenarannya. Kemudian, satu-persatu wajah ahli delegasi diperhatikan dengan baik oleh baginda.
“Negara telah memecatku, itu tiada masalah, tetapi kenapa kalian membawa serta Yahudi ini masuk ke tempatku?” kata Sultan dengan nada yang cukup marah, sambil menunding jari tehadap salah seorang wakil delegasi Yahudi berbangsa Itali, Emmanuel Carasso.
Baginda cukup mengenali Emmanuel Carasso, seorang wakil yang turut bersama-sama Theodor Herzl ketika cuba membuat tawaran keizinan penempatan Yahudi di Palestin.
“Walaupun anda dipecat, kelangsungan hidup anda berada dalam jaminan kami”, balas Esha Pasha, cuba mengalih bicara.
Sultan Abd Hamid sedar kedudukannya di saat-saat yang genting itu. Baginda yakin dengan ketentuan Allah SWT telah tetapkan untuknya. Sunnah Allah yang pasti bagi hari-hari yang digilirkan kemenangan dan kekalahan sepertimana kisah Uhud, suatu ketika dahulu.
Malam 27 April 1909 itu menjadi saksi pengusiran Khalifah terakhir umat dari pemerintahan dunia. Malam itu juga baginda beserta ahli keluarganya yang ramai diangkut menuju ke  stesen kereta api Sirkeci. Mereka diusir dari bumi yang menjadi simbol kekuatan dan kesatuan umat, dan dibuang ke istana milik Yahudi di Salonika.
Bumi seakan-akan bergegar akan tragedi yang memilukan itu. Tanah keemasan yang  pernah dijejak oleh sebaik-baik raja dan sebaik-baik tentera itu suatu ketika dahulu, kini berubah wajahnya menjadi debu-debu yang berterbangan.
“Sabarlah anakku, negara tidak tahu apa yang telah mereka lakukan pada umat Muhammad ini” Sultan cuba menenangkan anaknya, Fatimah sambil mengusap air matanya yang mengalir sedih.
Kereta api pun meluncur laju, meninggalkan bumi khilafah di belakang. Maka, tamatlah salasilah pemerintahan Khilafah umat Islam sejak dari zaman Abu Bakar r.a, selepas pembubaran khilafah secara rasmi di Istanbul pada 3 Mac 1924 Masihi bersamaan 28 Rejab 1342 Hijrah.
Saudara,
Andainya saudara telah hidup disaat-saat kejatuhan itu,
Apakah yang akan saudara lakukan?
Marah?
Menangis?
Membuat demonstrasi?
Berceramah dan menghebahkan ke pelusuk dunia?
Mengadakan muktamar-muktamar?
Atau, tenang dan sekadar duduk menerima ketentuan?
Saudara, apa yang akan saudara lakukan?
Jawablah, kerana saat itu saudara telah dihinakan.


Syakib Arsalan Menggaris Langkah
Lalu, di celah-celah kegawatan umat itu, muncul seorang Ulama Agung, Syakib Arsalan menggaris langkah;
“Kita wajib memulakan usaha Islam dari bawah; iaitu melalui tarbiyah individu. Apalah gunanya mengadakan muktamar yang menghimpunkan orang-orang yang lemah, tidak mempunyai keinginan sendiri, dan tidak mampu melaksanakan satu keputusan atau resolusi. Apakah faedah berbuat demikian? Adakah kamu mahu mengumpulkan angka-angka kosong?”
Ungkapannya muncul setelah beberapa kali diutus surat kepadanya, menanyakan pendapat tentang muktamar dan perhimpuanan yang diadakan untuk memilih Khalifah Umat yang baru. Namun, beliau tegas dalam memahami teori kebangkitan bagi umat ini. Kekalahan umat baginya bukanlah sekadar kejatuhan kekuasaan dan pemerintahan khilafah, tetapi ia adalah lebih menjunam hingga ke pokok akar-akarnya, iaitu akidah dan iman setiap muslim di seluruh dunia.
Sejarah membuktikan bahawa kelemahan identiti dan jiwa seorang muslim ketika itu, cukup membimbangkan, sehingga membawa kepada pepecahan dan penentangan sesama muslim.
Di awal ambang kemorosotan kerajaan Uthmaniah, telah muncul satu gerakan Revolusi Arab yang berpusat di Mekah. Mereka menentang pemerintahan kerajaan Turki Uthmaniah atas dasar nasionalisme dan perkauman. Bahkan, gerakan ini ditaja sendiri oleh pihak British dan Perancis. Di Turki pula muncul gerakan Young Turksatau Turki Muda dan Parti Al-Ittihad wal Taraqqi, yang juga menentang dasar pemerintahan khilafah Uthmaniah. Perkembangan ini turut dirasai oleh umat Islam di negara-negara lain, sehingga kebanyakannya menuntut permisahan secara total dari pemerintahan kerajaan Uthmaniah, dan membina negara-negara masing-masing.
Seorang penulis berpengaruh di Mesir, Abdul Rahman Al-Kawakibi telah menulis dalam bukunya, Ummul Qura, menghasut orang-orang Arab supaya menetang kerajaan Uthmaniah, dan menuduh Sultan Abdul Hamid seorang yang mengutamakan politik lebih dari agama.
Kemorosatan moral dan akhlak juga menjadi lumrah dan kebiasaan. Penyelewengan akidah dan bidaah telah merebak ke seluruh jiwa umat. Golongan istana para pemimpin juga terlibat dalam krisis moral dengan adanya pesta tari-menari dan hidangan minuman keras. Gejala rasuah dan pecah amanah menjadi adat dalam sistem pentadbiran sehingga ke tahap yang kritikal.
Maka, Syakib Arsalan melahirkan kerisauannya pada aspek pembinaan semula jati diri, akidah dan iman dalam diri umat. Beliau memandang hakikat kerosakan tersebut, seiring dengan teori Al-Faruq Umar Al-Khattab, ketika ditanya,
“Adakah sesebuah negeri itu boleh musnah padahal ia makmur maju?”
Lalu, beliau menjawab:
“Apabila orang-orang jahat menguasai orang-orang baik”
Juga, seiring dengan firman Allah SWT ketika mengajar para sahabat erti sebenar kejatuhan pada perang Uhud:
“Dan mengapa ketika kamu ditimpa musibah (dalam peperangan Uhud), padahal kamu telah pun memenangi seperti itu sebanyak dua kali ganda (dengan menimpakan musibah kepada musuh dalam peperangan Badar), kamu berkata: Dari mana datangnya (musibah) ini? Katakanlah (wahai Muhammad) (Musibah) itu dari diri kamu sendiri (kerana ingkar perintah Rasulullah)…”
(Aali Imran: 165)
Ya, Allah SWT telah menegaskan pada umat ini :
“(Musibah) itu dari diri kamu sendiri (kerana ingkar perintah Rasulullah)…”


Hasan Al Banna Mengorak Langkah
Walaupun begitu, teori Syakib Arsalan tersebut seolah-olah tidak diendahkan para pemimpin dan umat. Hal ini diakui sendiri oleh seorang tokoh Islam bernama Abdul Wahab Azzam,
“Namun,sampai kini kita masih mendengar laungan-laungan di dalam perhimpunan-perhimpunan serta resolusi-resolusi di muktamar –muktamar sejak puluhan tahun dahulu.Semuanya itu hanya merupakan himpunan angka kosong."
Usaha dakwah ini mesti dimula dari bawah sepertimana kata Syakib.
Maka umat terus dilanda kebingungan sejak jatuhnya Khilafah Uthmaniah di Turki, berbagai pihak cuba membuat serangan-serangan terhadap keteguhan dan keaslian Islam dan umatnya. Kekacauan dan huru-hara yang berlaku kesan dari kejatuhan khilafah Uthmaniah amat dirasai oleh mereka yang masih ikhlas dan dan beriman dengan risalah Nabi SAW. Namun,mereka seolah-olah hanya mampu menunggu kemunculan mana-mana peribadi yang bangkit dan berdiri memimpin mereka ke arah kebangkitan.
Maka, Allah Maha Adil telah menyiapkan sebuah peribadi unggul yang  bangkit dan kembali mentajdid ruh Islam dan jihad ke dalam jiwa umat. Pada tahun 1928, Imam Hasan Al-Banna bangkit dan mengasaskan sebuah gerakan Islam yang melakukan usaha-usaha untuk membawa kembali khilafah kepada tempatnya. Beliau telah melakukan beberapa kajian-kajian terhadap permasalahan umat dan ubatnya, dan akhirnya mendapati:
“Ceramah, ucapan, buku, pengajian, mengenal pasti penyakit dan ubat sahaja tidak akan membawa apa-apa kesan dan tidak akan dapat membawa pendakwah kepada matlamat. Sebaliknya dakwah perlu menggunakan segala wahana. Wahana yang perlu digunakan oleh semua gerakan ini tidak lain dan tidak bukan adalah tiga perkara berikut :
  1. Iman yang mantap
  2. Pembentukan yang kemas
  3. Usaha yang berterusan”
Usaha beliau dalam mentarbiyah dan membina umat berterusan dan disambung oleh para generasi selepasnya, dan mula membuahkan hasil demi hasil dengan izin-Nya.
Sirah Rasulullah SAW dalam menumpukan aspek-aspek pembinaan generasi sahabat sehingga membawa kepada penegakan negara Islam Madinah dan menjadi titik bermula kegemilangan empayar Ummayah, Abbasiyah, dan Uthmaniah menjadi dalil jelas kepada usaha Imam Hasan Al Banna dalam menjadikan tarbiyah sebagai kekuatan umat.
Akhirnya, menjadi kewajipan bagi setiap mereka yang mengakui Allah sebagai tuhannya untuk menggabungkan diri dalam usaha-usaha pembinaan diri dan pentarbiyahan, agar suatu hari nanti, pembukaan Kota Konstantinople kembali bergegar dan kegemilangan Kota Baghdad kembali menyinar.
Jika tidak, maka setiap dari kita akan dipertanggungjawabkan dosa akibat tidak meletakkan Islam ke tempat yang sepatutnya.
“Sesungguhnya aku tahu, bahawa nasibku semakin terancam. Boleh saja aku berhijrah ke Eropah untuk menyelamatkan diri. Tetapi untuk apa? Aku adalah khalifah yang bertanggungjawab ke atas umat ini. Tempatku adalah di sini. Di Istanbul!”

Sumber:
Harb, Muhammad (1998). Catatan Harian Sultan Abdul Hamid II. Darul Qalam, ; Asy-Syalabi, Ali Muhammad (2003).Bangkit dan Runtuhnya Khilafah ‘Utsmaniyah. Pustaka Al-Kautsar, 403-425.Muzakarrat Daie wa Daieah; Hasan Al Banna.

Read more...

10 June 2011

Dakwah BUKAN untuk ORANG MANJA.

Dakwah Bukan Untuk Orang Yang Manja

-Tarbiyyah bukan untuk orang yang malas. 
-Dakwah bukan untuk orang yang takut nak bergerak dan mencabar diri.
 -Tarbiyyah bukan untuk orang yang cepat bosan, lari, lompat-lompat, sekejap  down-sekejap up, cepat terasa. 
-Tarbiyyah bukan bagi orang yang memilih program untuk dia ikuti yang senang dan mudah join, yang penat, bersusah payah elak.
-Bukan untuk orang yang mencari tarbiyyah hanya bila terasa diuji oleh tuhan. Kalau tak, batang hidung pun tak nampak.
-Bukan bagi yang meletakkan dakwah hanya untuk mencari calon akhawat atau ikhwah sebagai sang isteri dan suami,
 -Yang join hanya untuk meminta tolong teman-teman pencerahan bila dia dalam kesusahan.
Tapi kesenangan dan kelebihan yang dia dapat, tak share pun dengan orang lain.
-Yang cepat mengalah,
-Yang meletakkan mabit, qiamullail, daurah, dan tathqif dalam diari hanya selepas ditolak dengan semua agenda dan upacara-upacara ‘penting’ yang lain.
-Yang hanya pandai cakap (dan menulis), tapi amal kosong
-Yang hanya tahu compare jamaah itu dengan jamaah ini, yang boleh mengkritik dan menilai harakah ini dan itu.


-Dakwah bukan untuk orang yang ikut liqa’ hanya kerana nak disebut sebagai ahli dalam harakah ini dan itu, jamaah ini dan itu.
-Dakwah bukan untuk orang yang tak boleh diberi tugasan last minute.
-Dakwah bukanlah untuk orang yang tak nak keluarkan duit, infaq di jalan Allah.
-Dakwah bukan untuk orang yang tak boleh sesekali tidur lewat, terpaksa berjalan jauh.
 -Dakwah bukan bagi orang yang kalau ada program untuk ikut terlibat, mesti naik motokar besar dan mewah, yang aircond dan laju.
-Yang tak nak naik bas, public transport, dan yang kena berpeluh-peluh.

-Tarbiyah bukan untuk orang yang kena contact dan info dia setiap masa tentang perkembangan terkini sedangkan dia kena macam boss, hanya tunggu information.
-Pencerahan bukan bagi mereka yang hanya nak berkawan dengan orang berduit dan berharta, yang hidup mewah, dan mengelak berkawan dengan orang susah, miskin, dan pakai comot.
-Dakwah bukanlah untuk orang yang setiap masa dan ketika, kerja nak beri alasan ini dan itu. Penat, mengantuk, susah, banyak kerja, keluarga tak bagi keluar.
-Tarbiyyah bukanlah segala-galanya. Tapi segala-galanya bermula dengan tarbiyyah.


Tanpa anda,
orang yang sering beralasan ini,
dakwah akan terus berjalan. Islam akan tetap berjaya.
Ummah akan tetap terpelihara.
Cuma tanpa pencerahan,
Tanpa tarbiyyah,
Tanpa dakwah Belum tentu kita akan berjaya di mahsyar nanti.
Tak mengapa. Teruskan hidup anda seperti biasa.
Dakwah tak memerlukan anda.
Tiada siapa pun yang rugi tanpa kehadiran anda.
Berbahagialah seadanya.


Saya menghitung diri.
Terlalu kerap menuturkan.
“saya busy..saya sibuk..saya penat..saya letih..”
Adakah ini petandanya saya terlalu manja?
Ya Allah, tabahkan hamba-Mu.
“amanah ini bukan hak milik, tp anugerah dr Nya”

(dipetik daripada yahoo group HISMAT)

Read more...

  © Blogger templates The Professional Template by Ourblogtemplates.com 2008

Back to TOP