10 May 2012

Fahami Hakikat Perjuangan

Bismillahirrahmanirrahim..

Assalamu'alaikum w.b.t..

Kepala terasa berat. Bahu seakan tidak tergalas dek beban. Tapi itulah sebuah hakikat yang harus dihadam oleh setiap insan yang bergelar pejuang. Payah, bila mengenangkan perihal dakwah. Kerana sesungguhnya kerja ini bukan kerja yang biasa-biasa. Amanah ini amanah Tuhan. Sesungguhnya perjuangan ini menuntut sejuta pengorbanan darimu. 

"Ingat senang ke nak berjuang?"

Soalan yang mampu membuat hatimu terusik, bahkan bisa menangis.. seandainya kau mamahami hakikat perjuangan. Jika dilihat hari ini, semakin ramai yang memasuki arena dakwah. Semakin ramai yang berjemaah. Semakin ramai yang menjadi sukarelawan. Semakin ramai yang boleh digelar pendakwah. Tapi persoalannya, berapa ramai yang betul-betul berjuang? Berapa ramai yang faham apa itu dakwah dan perjuangan?

Apa ertinya kau bersama dalam medan dakwah?

Apa ertinya kau 'memeluk' dakwah?

DAKWAH. Dakwahlah yang menyaksikan peristiwa Nabi Muhammad s.a.w, kekasih Allah, Rasul kesayangan kita dihina dan dicaci. Dilontar najis dan dilempar batu sehingga baginda tercedera. Dikatakan gila, hanya kerana baginda menyampaikan kebenaran. Dijanjikan habuan dunia, namun ditolaknya mentah-mentah.

DAKWAH. Dakwahlah yang menyaksikan bagaimana sukarnya Nabi Nuh a.s, menyeru umatnya siang dan malam. Namun, seruannya itu hanyalah menambah mereka lari dari kebenaran. Dan sesungguhnya setiap kali Nuh menyeru mereka, mereka menyumbatkan jari ke telinga mereka dan menutupkan wajah mereka. Satu penolakan yang amat jelas lagi terang.

DAKWAH. Dakwahlah yang menyaksikan Khabbab Al- 'Arat yang hancur daging-daging di belakang tubuhnya gara-gara dibaringkan di atas bara api yang panas, hanya kerana keislamannya dan keinginannya untuk mendakapi dakwah Rasulullah s.a.w.

DAKWAH. Dakwahlah yang menyaksikan bagaimana Hasan al-Banna ditembak mati oleh tangan-tangan durjana.  Darah segarnya mengalir deras. Musuh membiarkan beliau mati tanpa pertolongan. Mereka juga membunuhnya dengan melarang orang untuk mengiringi jenazahnya. Namun, darah yang mengalir itulah yang menyirami pohon dakwah yang ditanam. Fikrahnya telah menembusi jiwa-jiwa.  

DAKWAH. Dakwahlah yang menyaksikan Sayyid Qutb dipenjara, kerana mata penanya yang menukilkan kebenaran. Biarpun dirinya terpenjara, namun fikirannya menembusi dinding-dinding itu. Tafsir Fi Zilalil Quran, dihasilkan dalam penjara. Yang menjadi rujukan hanyalah penghayatan ilmu yang sedia ada dalam diri beliau. Dan 'hasil penjara' itulah yang menjadi bahan rujukan manusia sekarang.                                                                                                                                               

Mereka. Semua insan hebat. Hebatnya mahu mereka pada syurga yang belum ternampak, hingga buta pada dunia yang kiri kanan terlambak. Sedangkan Nabi Muhammad yang mulia itu, yang sudah dijanjikan syurga itu pun bersusah payah demi dakwah. Berdarah dan terluka kerana dakwah. Apatah lagi kita yang hina ini?

Aku mahu tanya, pernah kau diperlakukan seperti mereka? Kau pernah dilempar batu dan najis saat kau menyeru kepada kebenaran? Pernah kau dihalau dari sesebuah tempat kerana kau berdakwah? Pernah kau dilayan seperti Nabi Nuh a.s sewaktu kau mengajak manusia supaya beriman? Pernah kau merasa susah dalam berdakwah?

Apakah pantas untuk kita mengeluh di jalan dakwah ini?

Memang seperti itulah dakwah. Dakwah adalah cinta. Dan cinta akan meminta semuanya dari dirimu. Sampai pikiranmu. Sampai perhatianmu. Berjalan. Duduk. Dan tidurmu. Bahkan di tengah lelapmu, isi mimpimu pun tentang dakwah. Tentang ummah yang kau cintai. Lagi-lagi memang seperti itu. Dakwah. Menyedut saripati energimu. Sampai tulang belulangmu. Sampai daging terakhir yang menempel di tubuh rentamu. Tubuh yang luluh lantak diseret-seret. Tubuh yang hancur lebur dipaksa berlari. -KH Rahmat Abdullah

Kau sendiri tahu, dakwah ini menjanjikan seribu satu kesakitan dan kepenatan. Ada waktunya kita di atas, ada waktunya kita di bawah. Ada waktunya kita mudah, tapi banyak waktunya kita susah. Dakwah ini bukan benda remeh temeh yang boleh kau pandang sebelah mata. Dakwah ni bukan kerja part time. Dakwah tidak menjamin kau akan disanjungi ramai. Dakwah tidak menawarkan kau pangkat dan nama. Melainkan kau sendiri yang mencari dan mengejarnya. Nak berjuang ni bukan mudah. Perlu hati yang tulus ikhlas bergerak hanya kerana Dia.

Namun, sesukar manapun jalan ini, sepayah mana pun jalan ini, ada satu jaminan yang membuatkan aku dan kau tidak ingin melepaskan tali dakwah ini. Jaminan yang menghilangkan segala kepenatanmu. Jaminan yang membuatmu kembali bersemangat tatkala kelemahan. Jaminan yang membuat kau gembira setelah kesedihan.
-SYURGA.

"Wahai orang-orang yang beriman. Mahukah kamu Aku tunjukkan suatu perdagangan yang dapat menyelamatkanmu dari azab yang pedih? (yaitu) kamu beriman kepada Allah dan Rasul-Nya dan berjihad di jalan Allah dengan harta dan jiwamu. Itulah yang lebih baik bagi kamu jika kamu mengetahuinya. Niscaya Allah akan mengampuni dosa-dosamu dan memasukkan kamu ke dalam syurga yang mengalir di bawahnya sungai-sungai, dan (memasukkan kamu) ke tempat tinggal yang baik di dalam syurga Adn. Itulah keberuntungan yang besar."  [Surah As Saff 61:9-12]

Sekarang.. mahu meluruskan niat. Mahu menjernihkan hati. Mahu menajamkan fikrah. Kerana apa aku berdakwah? Apakah kerana mahu digelar alim? Apakah kerana ingin mendapat nama? Apakah kerana ingin meramaikan ahli jemaah?

Komitmen bukan sekadar dalam jemaah, tapi komitmen itu dalam dakwah itu sendiri.

Dakwah kita bukan membawa kepada obsesi jemaah, tapi membawa kepada obsesi kepada Islam, dan tunduk pada Tuhan. Put Islam in the first place. Clearkan niat kita balik. Dakwah ini dibuat bukan kerana manusia, tapi untuk Allah. Jemaah takkan kemana kalau du'atnya sendiri gilakan nama. Ingat balik matlamat kita. Kita nak lahirkan kader yang berkualiti, bukan hanya mementingkan kuantiti. Apa pentingnya tenaga yang ramai tapi kualitinya zero?

Wahai du'at, jangan terpedaya dengan dunia. Dunia memancingmu dengan pangkat dan nama. Dunia menarikmu dengan kata-kata pujian dan sanjungan. Aku takut.. aku takut kalau-kalau aku ini hanyalah seperti tin kosong. Lantang berbunyi namun tiada isi. 

Tersanjungkah engkau dengan licin lidahmu bertutur, sementara dalam hatimu tidak ada apa-apa. Kau kunyah mitos pemberian masyarakat dan sangka baik orang-orang berhati jernih, bahwa engkau adalah seorang yang soleh, alim, abid lagi mujahid, lalu puas meyakini itu tanpa rasa ngeri. Abu Bakar r.a selalu gementar saat dipuji orang. "Ya Allah, jadikan diriku lebih baik daripada sangkaan mereka., janganlah Engkau hukum aku kerana ucapan mereka dan ampunilah aku lantaran ketidaktahuan mereka.", ucapnya lirih. - KH Rahmat Abdullah
       
Dakwah itu tanggungjawab. Amanah. Bukan keseronokan. Susahnya mahu ikhlas. Susahnya mendidik diri supaya lahir kualitas seorang pejuang. Dengan sedikit ujian di jalan dakwah, dengan sedikit penolakan di jalan ini, itupun sudah mampu melemahkan semangat da'ie untuk meneruskan perjuangan. Bagaimana agaknya kalau kita diuji seperti pejuang-pejuang terdahulu?


Benarlah takwin itu berat, meletihkan, dan menyedut segala tenaga yang ada. Bahkan ia boleh mengguris dan melukakan jiwa andai para du'at tidak meletakkan tawakal pada yang selayaknya. Semua orang berhak berusaha menjadi yang terbaik di mata Allah. Dan semua orang juga berhak menjadi pihak yang benar dan tidak dipersalahkan.

Andai puncanya adalah kelemahanku, ampunilah daku Ya Allah.. Agar aku semakin tunduk dan semakin berhati-hati dalam setiap langkahku. Andai puncanya bukan padaku Ya Allah, selamatkanlah aku. Agar aku tidak merasa tinggi kerana kebenaran yang berdiri di sisiku.

Benarlah takwin ini berat, kalau bukan kerana kebenaran yang telah Kau tunjukkan dan hutang piutangku kepadaMu yang takkan pernah langsai, nescaya barangkali aku sudah berangkat pergi. Tapi pertahankanlah kakiku Ya Allah, agar aku tidak termasuk dalam golongan orang-orang yang rugi. :'(

Banyak lagi yang mahu diperkatakan. Tapi biarlah. Cukuplah setakat ini. Untuk kali ini. Sesungguhnya ujian dalam dakwah itu mematangkan, kerana dakwah itu sendiri mematangkan dan dakwah ini juga memerlukan orang-orang yang matang. 



Bertahanlah wahai du'at,
Allah pasti menguji kita dengan sesuatu yang kita lemah. Sehinggalah kerananya kelak kita menjadi gagah.

Istiqomahkan kami di jalan ini. Ikhlaskan hati kami di jalan ini. Permudahkan urusan kami di jalan ini. 

Mahu menyedut spirit pejuang-pejuang terdahulu. Walaupun mustahil untuk menjadi seperti mereka, namun biarlah sedikit semangat itu menjadi inspirasi dan kekuatan untuk aku meneruskan langkah dalam jalan yang sumpah panjang ini.

Baru aku sedar sebuah hakikat; bukan senang nak berjuang.

Tapi mahu! Mahu dan mahu! 

Allah..



Aku, yang menulis dalam keadaan iman yang perlu diperbaharui.
Mohon kekuatan Ya Allah.. 


SAA; 19032012



source:
post about da'wah by Syafiqah Rahmatgreat writing by Laskar Mentari.
Buku 'AKU DAN AL IKHWAN AL MUSLIMUN' by Prof. Dr. Yusuf Al Qaradhawi (Bab "Terbunuhnya Imam Hasan al-Banna" m/s 84)

Read more...

  © Blogger templates The Professional Template by Ourblogtemplates.com 2008

Back to TOP